KAEDAH ISLAM DALAM MENANGANI STRES
Islam merupakan agama yang sempurna. Cara yang terbaik
dalam menangani stres ialah dengan mendekatkan diri kepada Allah. Hashim Anang
(2009) menyatakan pendidikan dan pengamalan Islam yang sepenuhnya akan membantu
mengatasi masalah stres dikalangan guru.
Seorang guru yang beragama Islam seharusnya memainkan
peranannya sebagai agen dakwah dengan melakukan segala perintah di dalam agama
Islam terlebih dahulu. Di dalam ajaran Islam misalnya, amalan solat yang
khusyuk lima waktu sehari semalam sebenarnya merupakan kaedah terbaik untuk
mencapai kejayaan dalam kehidupan sekaligus menangani segala masalah.
Allah SWT berfirman dalam surah al-Mukminun, 23: 1&2 yang bermaksud:
"Sesungguhnya berjayalah orang-orang Yang beriman, Iaitu mereka Yang
khusyuk Dalam solatnya".
Perkataan “aflaha” atau berjaya di sini bukan
sekadar berjaya di dunia malah berjaya juga di akhirat. Mereka yang beroleh
khusyuk dalam solat, akan juga beroleh khusyuk dan ketenangan dalam kehidupan
dan minda mereka. Malah seruan azan juga turut mengaitkan solat dengan
kejayaan. Marilah bersolat dan marilah menuju kejayaan.
Abu Darda' di dalam kitab al-Asas fi Tafsir menyatakan
bahawa khusyuk itu ialah pengagungan terhadap Tuhan, keikhlasan dalam
perkataan, kesempurnaan dalam keyakinan, memberikan sepenuh perhatian dan tidak
berpaling ke kiri dan kanan kerana ia adalah dari syaitan. Faedah khusyuk ini
akan membina jati diri seseorang muslim yang taat dan soleh, yang tenang dan
aman jiwanya dan yang ikhlas dalam tindak-tanduk amalnya. Ketenangan jiwa merupakan
penawar utama bagi masalah stres.
Berzikir juga merupakan amalan yang mampu menenangkan
jiwa dan menghilangkan stres. Dalam hal ini, Allah SWT memberi jaminan bahawa
mereka yang senantiasa mengingati-Nya akan beroleh ketenangan hati. Allah SWT
berfirman dalam surah al-Rad, 13: 28 yang bermaksud, "(Iaitu) orangp-orang
yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah". Ketahuilah
Dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia". Allah
SWT juga berfirman dalam surah al-Baqarah, 2:152 yang bermaksud; "Maka
berzikirlah (ingatlah) kepada-Ku, nescaya Aku akan mengingati kamu
sekelian".
Amalan membaca, mendengar dan menghayati al-Quran juga
mampu menjadi penenang kepada jiwa. Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda
yang bermaksud: "Al-Quran adalah penawar kepada kesakitan minda".
(Hadis riwayat Bukhari). Rasulullah SAW juga pernah
bersabda: "Didiklah anak-anak kamu atas tiga sifat iaitu: Cintakan
nabi mereka, cintakan keluarga nabi dan membaca al-Quran".
Jelas di sini berdasarkan pencerahan beberapa amalan di
atas, Islam mempunyai kaedah tersendiri dalam menjaga kesihatan jiwa dan
menangani stres. Mereka yang mengalami stres khususnya di kalangan guru
seharusnya berusaha mencapai solat yang khusyuk, sentiasa berzikir dan
menghayati isi kandungan al-Quran. Amalan-amalan ini terbukti mampu menjadikan
diri kita sihat zahir dan batin.
No comments:
Post a Comment