Sunday 1 March 2015

KAEDAH ISLAM DALAM MENANGANI STRES

Islam merupakan agama yang sempurna. Cara yang terbaik dalam menangani stres ialah dengan mendekatkan diri kepada Allah. Hashim Anang (2009) menyatakan pendidikan dan pengamalan Islam yang sepenuhnya akan membantu mengatasi masalah stres dikalangan guru.
Seorang guru yang beragama Islam seharusnya memainkan peranannya sebagai agen dakwah dengan melakukan segala perintah di dalam agama Islam terlebih dahulu. Di dalam ajaran Islam misalnya, amalan solat yang khusyuk lima waktu sehari semalam sebenarnya merupakan kaedah terbaik untuk mencapai kejayaan dalam kehidupan sekaligus menangani segala masalah.  Allah SWT berfirman dalam surah al-Mukminun, 23: 1&2 yang bermaksud: "Sesungguhnya berjayalah orang-orang Yang beriman, Iaitu mereka Yang khusyuk Dalam solatnya".
Perkataan “aflaha” atau berjaya di sini bukan sekadar berjaya di dunia malah berjaya juga di akhirat. Mereka yang beroleh khusyuk dalam solat, akan juga beroleh khusyuk dan ketenangan dalam kehidupan dan minda mereka. Malah seruan azan juga turut mengaitkan solat dengan kejayaan. Marilah bersolat dan marilah menuju kejayaan.
Abu Darda' di dalam kitab al-Asas fi Tafsir menyatakan bahawa khusyuk itu ialah pengagungan terhadap Tuhan, keikhlasan dalam perkataan, kesempurnaan dalam keyakinan, memberikan sepenuh perhatian dan tidak berpaling ke kiri dan kanan kerana ia adalah dari syaitan. Faedah khusyuk ini akan membina jati diri seseorang muslim yang taat dan soleh, yang tenang dan aman jiwanya dan yang ikhlas dalam tindak-tanduk amalnya. Ketenangan jiwa merupakan penawar utama bagi masalah stres.
Berzikir juga merupakan amalan yang mampu menenangkan jiwa dan menghilangkan stres. Dalam hal ini, Allah SWT memberi jaminan bahawa mereka yang senantiasa mengingati-Nya akan beroleh ketenangan hati. Allah SWT berfirman dalam surah al-Rad, 13: 28 yang bermaksud, "(Iaitu) orangp-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah". Ketahuilah Dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia". Allah SWT juga berfirman dalam surah al-Baqarah, 2:152 yang bermaksud; "Maka berzikirlah (ingatlah) kepada-Ku, nescaya Aku akan mengingati kamu sekelian".
Amalan membaca, mendengar dan menghayati al-Quran juga mampu menjadi penenang kepada jiwa. Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Al-Quran adalah penawar kepada kesakitan minda". (Hadis riwayat Bukhari). Rasulullah SAW juga pernah bersabda: "Didiklah anak-anak kamu atas tiga sifat iaitu: Cintakan nabi mereka, cintakan keluarga nabi dan membaca al-Quran".

Jelas di sini berdasarkan pencerahan beberapa amalan di atas, Islam mempunyai kaedah tersendiri dalam menjaga kesihatan jiwa dan menangani stres. Mereka yang mengalami stres khususnya di kalangan guru seharusnya berusaha mencapai solat yang khusyuk, sentiasa berzikir dan menghayati isi kandungan al-Quran. Amalan-amalan ini terbukti mampu menjadikan diri kita sihat zahir dan batin.

Saturday 28 February 2015

Tekanan Di Kalangan Guru
            Pendidikan memainkan peranan yang besar dalam pembangunan sesebuah negara. Mutu pendidikan yang baik secara langsung dan tidak langsung menyumbang kepada pembentukan generasi yang gemilang dan terbilang dalam sesebuah negara yang mampan, produktif dan sihat. Mutu pendidikan yang cemerlang banyak bergantung kepada produktiviti yang tinggi di kalangan ahli-ahli pendidik terutama sekali para guru memandangkan guru menyumbang sebahagian besar daripada pekerjaan di dalam bidang pendidikan
            Guru merupakan elemen terpenting dalam pedagogi untuk menghasilkan pendidikan yang berkualiti. Kualiti pengajaran guru pada hari ini atau masa-masa yang akan datang jika dibandingkan dengan hari-hari yang lepas adalah tidak sama atau sukar untuk dipiawaikan. . Ini menjadikan kerjaya guru kian mencabar. (AdminBlog Tips Kerjaya, 2011). Kepuasan kerja dan faktor-faktor yang boleh mengakibatkan tekanan boleh mempengaruhi kualiti pengajaran guru dan seterusnya mempengaruhi pula produktiviti, prestasi dan kecekapan guru. 
            Kebanyakkan guru melaporkan mereka mengalami tekanan dalam pekerjaan mereka dan mengalami ‘burnout’ pada peringkat terntu dalam pengalaman pekerjaan mereka.  Selain daripada itu, selain daripada mengalami masalah ‘burnout’ atau ketandusan upaya, mereka juga berpotensi menghidap penyakit barah payu dara, darah tinggi, sakit jantung dan ada juga yang sedang mendapatkan rawatan psikiatri daripada doktor. (Utusan Malaysia,2006) . 'Stress’' atau tekanan melibatkan penggunaan semua sistem yang ada dalam badan yang melampaui keupayaan. Individu berkenaan mendapati sukar menyesuaikan diri dengan keadaan dan memerlukan usaha yang lebih untuk mencapai keseimbangan dalam dirinya dan dengan alam sekitar.
            Namun begitu, tekanan melampau yang berlaku di kalangan guru adakalanya memakan diri sendiri. Seorang guru sekolah rendah terkejut mendapati anaknya yang berusia lima tahun tidak bernyawa selepas kanak-kanak itu ditinggalkan di dalam kereta selama beberapa jam. Gara-gara mengejar waktu untuk mengimbas kad perakam waktu di sekolah, dia telah terlupa bahawa anaknya masih lagi berada di dalam kenderaan. (Sinar Harian, 2012).   Kejadian itu telah membuka mata banyak pihak. Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) menegaskan bahawa guru-guru di Malaysia ini bekerja dalam keadaan tekanan atau tekanan yang melampau lebih-lebih lagi apabila jemaah nazir dari Kementerian Pelajaran memantau guru-guru di sekolah. Dalam laporan akhbar Utusan Malaysia bertarikh 28 Februari 1998, mencatatkan bahawa guru merupakan anggota perkhidmatan awam yang paling ramai menerima rawatan mental. Kenyataan ini bertepatan dengan pepatah Melayu yang menyatakan bahawa ‘guru ibarat lilin yang menerangi orang lain, tetapi membakar dirinya sendiri.
         Terdapat banyak contoh yang berkaitan dengan tindakan disiplin yang berdasarkan emosi yang dilakukan oleh para guru. Antaranya ialah kejadian di mana 200 orang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bawang Assan di Sarawak telah dihukum dengan cara berendam di dalam sebuah kolam kotor oleh Warden Asrama mereka disebabkan masalah disiplin. (Utusan Malaysia,2007). Pada  tahun 2006 pula, seorang guru disiplin di sebuah sekolah menengah di Kelantan telah bertindak memukul seorang pelajar berulang kali di kawasan sekolah kerana memakai seluar jeans pada hari terakhir peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) (Berita Harian, 2006). Sementara itu, pada tahun 2008, seorang pelajar Tingkatan Lima di Kuching, Sarawak telah ditumbuk dan ditampar oleh guru disiplin sekolahnya atas tuduhan mencuri wang dan  pendrive milik rakannya sendiri. Akibat perlakuan guru displin tersebut, pelajar terbabit mengalami trauma untuk ke sekolah kerana takut kejadian yang sama akan berulang kembali (Berita Harian, 2008) 
            Terdapat banyak faktor yang menyebabkan berlakunya tekanan di kalangan guru pada masa kini. Antara faktor tekanan   yang dapat dikesan ialah sistem kepimpinan dan komunikasi yang teruk, sistem autokratik dan gaya kepimpinan yang bersifat ‘buli’. Kuehn (1993) dalam kajiannya mendapati faktor-faktor penyebab tekanan dikalangan guru ialah kerana kurangnya masa untuk merubah pelajar yang bermasalah dan tidak dapat membuat keputusan yang berkaitan dengan mereka. Pada masa kini, di samping bertindak sebagai agen penyampai di dalam kelas, guru-guru juga ada yang bertindak sebagai Guru Disiplin di sekolah. Ini bermaksa mereka memikul bukan satu tanggungjawab di sekolah, tetapi dua atau malahan lebih lagi tugas yang dipertanggungjawabkan kepada mereka.  
            Jarnagin (1997) dalam kajiannya pula mendapati para guru sering menghadapi masalah dengan kertas kerja yang banyak, red tape, kecewa dengan ibu bapa dan masyarakat, mereka merasakan diri mereka tidak dihargai, faktor gaji yang rendah daan tertekan apabila dinilai ke atas perkara-perkara yang tidak dapat dikawal.
            Setiap masalah mesti ada jalan penyelesaiannya.. Demikianlah juga dengan isu ini.Pihak-pihak tertentu harus mengambil langkah untuk menyelesaikannya.  Sebagai langkah pertama, Kementerian Pelajaran Malaysia boleh mengambil beberapa langkah pencegahan seperti menganjurkan bengkel, seminar serta kursus-kursus berhubung dengan masalah tekanan yang berlaku di kalangan guru. Bak kata pepatah ‘mencegah lebih baik daripada mengubatinya’. Selain daripada itu, pihak pentadbir juga perlu memainkan peranan mereka. Mereka boleh memberi dorongan dan menunjukkan keyakinan kepada guru bahawa mereka mampu melakukannya walaupun sebelum ini guru tersebut tidak pernah mengajar subjek itu.  Selain daripada itu, pembelajaran yang seratus peratus berpusatkan kepada guru perlu dihindarkan. Guru perlu menggalakan  murid-murid menjalankan aktiviti  yang mana guru hanya bertindak sebagai pembimbing sahaja. Ini secara tidak langsung menyokong kepada Teori Pembelajaran Konstruktivisme.
            Kesimpulannya ialah, tekanan adalah sebahagian dan sentiasa melingkari kehidupan seharian manusia. Justeru setiap daripada kita menghadapi tekanan cuma yang membezakan adalah pada peringkat manakah tekanan memberi kesan dalam kehidupan Dengan ini, guru juga turut menghadapi tekanan dan adalah penting bagi guru yang menghadapi tekanan mengetahui kemahiran pengurusan tekanan. Ini supaya tekanan yang dihadapi tidak mendatangkan kesan buruk kepada guru sehingga menjejaskan imej mereka serta organisasi pendidikan itu sendiri. Diharapkan dengan tugas guru yang semakin mencabar kini, beberapa kajian lain tentang tekanan guru dapat dlakukan lagi dan kenal pasti tindakan yang boleh diambil agar matlamat pendidikan untuk menghasilkan guru dan murid yang cemerlang tercapai.